Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
RUANGAN Agama Utusan Malaysia  minggu lalu telah memperkenalkan seorang ulama Arab yang berasal dari  Libya yang sangat besar jasanya terutama di Pulau Pinang. Ulama yang  dibicarakan kali ini juga seorang bangsa Arab yang cukup terkenal di  dunia Melayu, bahkan secara berantai mulai datuk, ayah, beliau sendiri  hingga keturunannya berperanan penting dalam penyebaran ilmu-ilmu Islam  di dunia Melayu. Untuk menulis riwayat ini saya gunakan beberapa sumber.
Sumber  daripada bahasa Arab ialah tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar yang  dimuat dalam Kitab as-Siyar wa at-Tarajim. Sumber bahasa Melayu ialah  sebuah risalah judul Kaifiyah 'Ala Thariqah An-Naqsyabandiyah  Al-Mujaddidiyah Al-Ahmadiyah Li Al-'Allamah Al-Quthub Ash-Shufiyah  As-Saiyid Muhammad Shalih Ibnu As-Saiyid Asy-Syarif 'Abdur Rahman  Az-Zawawi (cetakan Mathba'ah al-Ahmadiyah al-Kainah fi Bandar Riau  al-Mahrusah al-Mahmiyah, 11 Muharam 1313 H). Selain itu, sumber yang  paling penting ialah catatan-catatan (manuskrip) yang saya peroleh dari  istana kerajaan Pontianak.
Sumber yang tidak kurang penting ialah  wawancara beberapa orang di antaranya keturunan beliau Saiyid Muhammad  Yusuf bin Saiyid 'Ali az-Zawawi (pernah menjadi Mufti Terengganu).
Nama  penuh beliau ialah Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih bin  Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Lahir 1266 H/1850 M. Saya masih meragui  tahun wafat 1343 H/1924 M yang disebut oleh Syeikh 'Umar Abdul Jabbar,  kerana beberapa tahun sesudah tahun itu Saiyid Abdullah az-Zawawi masih  berada di Pontianak. Jika diperhatikan tahun lahir tersebut, ia  bersamaan dengan tahun lahir Saiyid Abu Bakri Syatha (lahir 1266 H/1849  M). Dengan maklumat ini mudahlah kita menjejaki guru-guru ulama yang  diriwayatkan ini.
- Apabila kita membicarakan ulama Arab  keturunan ‘Saiyid’ yang tersebut pada judul, dapat kita jejaki mulai  dari datuknya lagi yang pernah datang ke dunia Melayu. Datuk beliau  bernama Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Dalam sebuah catatan yang  diperoleh dari istana kerajaan Pontianak disebutkan bahawa pada tahun  1295 H/1878 M, Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi datang di Pontianak  mengajar beberapa ilmu dan membaiah Tarekat Naqsyabandiyah.
-  Anak Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi yang bernama Saiyid Muhammad Shalih  (lahir 1246 H/1830 M, wafat 1308 H/1890 M) pula pernah datang ke Pulau  Penyengat, Riau. Beliau juga mengajar pelbagai ilmu dan sempat membaiah  Tarekat Naqsyabandiyah al-Mujaddidiyah al-Ahmadiyah kepada Raja Muhammad  Yusuf al-Ahmadi (wafat 1317 H/1899 M), iaitu Yang Dipertuan Muda  Riau-Lingga yang ke-X (Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga yang terakhir).
-  Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi  belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah, Mekah. Sebagaimana diketahui dalam  sejarah bahawa yang mendirikan madrasah tersebut ialah Syeikh  Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-'Utsmani (salah seorang  keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan). Oleh sebab sudah jelas bahawa  Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar di madrasah tersebut, maka sudah pasti  beliau adalah termasuk golongan murid yang pertama belajar kepada ulama  keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan r.a itu. Sanad pelbagai ilmu Islam  dapat diketahui melalui Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi  al-'Utsmani yang banyak dibicarakan dalam pelbagai kitab.
Sumber Arab
-  Pendidikan Saiyid Abdullah az-Zawawi melalui jalan yang lain pula,  terutama dalam ilmu tasawuf dan tarekat, dapat diketahui daripada sumber  Arab dan Melayu. Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar kepada ayahnya,  iaitu Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi  belajar kepada ayahnya, iaitu Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Saiyid  Muhammad Shalih az-Zawawi selain belajar kepada ayahnya juga belajar  dengan Saiyid Muhammad Mazhhar al-Ahmadi. Beliau ini belajar dengan  Syeikh Ahmad Sa'id al-Ahmadi yang belajar dengan Syeikh Abi Sa'id  al-Ahmadi. Syeikh Abi Sa'idbelajar dengan Syeikh Abdullah ad-Dahlawi.  Syeikh Abdullah ad-Dahlawi ini adalah ulama yang sangat terkenal  terutama dalam bidang ilmu hadis. Selain nama-nama yang tersebut di  atas, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga belajar dengan beberapa orang ulama  di Mekah termasuk juga dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.
-  Telah diketahui umum bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah Mufti Mazhab  Syafie di Mekah. Hampir-hampir tidak ada orang menceritakan bahawa  beliau menduduki beberapa jabatan penting di Makkah ketika beliau belum  berpindah ke dunia Melayu. Tetapi Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis  bahawa pada zaman pemerintahan Syarif Husein di Mekah, Saiyid Abdullah  az-Zawawi memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Syura, Ketua Majlis  Syuyukh dan Ketua 'Ain Zubaidah. Di samping menyandang kedudukan yang  tinggi di Mekah, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga giat mengajar. Ramai  ulama yang berasal dari dunia Melayu belajar dengan beliau di Makkah  yang kemudian menjadi ulama besar yang berperanan penting dalam  penyebaran Islam di negeri mereka masing-masing atau tempat-tempat  lainnya.
- Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi, salah seorang  cicitnya, ketika saya temui di Masjid Negara meriwayatkan bahawa sewaktu  Prof. Dr. Snouck Hurgeronje datang ke Mekah dia kagum dengan kehebatan  ilmu dua orang ulama. Yang seorang bangsa Arab, iaitu tok Ana (maksudnya  diri beliau atau Saiyid Yusuf az-Zawawi, pen:) yang bernama Saiyid  Abdullah az-Zawawi. Snouck belum puas kerana yang dimaksudkannya bukan  ulama Arab tetapi ulama yang berasal dari dunia Melayu. Dia mencari  ulama itu untuk kepentingan bangsanya, bangsa Belanda. Akhirnya, Snouck  datang kepada Tok Enta (maksudnya diri saya atau Mohd. Shaghir Abdullah,  pen:) iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.
Syeikh Ahmad al-Fathani  marah kepada Snouck kerana beliau yakin bahawa Snouck masuk Islam  hanyalah sebagai tipu muslihat. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh Snouck  mengucap syahadat. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi menutup perbualan  bahawa dalam buku Snouck Hurgeronje judul Mecca, cetakan awal dalam  bahasa Belanda, terdapat dua keping gambar. Pada bahagian depan ialah  gambar Saiyid Abdullah az-Zawawi dan pada halaman berikutnya gambar  Syeikh Ahmad al-Fathani. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi juga  meriwayatkan bahawa kewafatan Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah kerana  ditembak sewaktu beliau hendak keluar dari rumahnya di Taif.
Hijrah ke dunia Melayu
-  Menurut tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar, Saiyid Abdullah az-Zawawi  pernah mengembara ke India, Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, China  dan Jepun tanpa memberikan keterangan yang lengkap tujuan pengembaraan  itu. Daripada beberapa informasi yang diperoleh melalui wawancara,  kedatangan Saiyid Abdullah az-Zawawi di dunia Melayu adalah sebab beliau  membantah fahaman yang beraliran Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab yang  sangat terkenal sebagai pencetus fahaman Wahabiyah.
- Menurut  riwayat, ada beberapa orang ulama terpaksa berhijrah dari Mekah ke dunia  Melayu kerana mereka menolak fahaman Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab  yang berpengaruh dalam pemerintahan di Hijaz termasuk Mekah. Antara  ulama Mekah yang berhijrah itu termasuk ulama besar Mufti Syafi'iyah  Makkah iaitu Saiyid Abdullah az-Zawawi. Saiyid Abdullah az-Zawawi pernah  datang ke Johor dan Riau - Lingga, namun atas permintaan Sultan  Pontianak beliau meneruskan perjalanannya di Pontianak. Di Pontianak,  beliau dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak.
- Ketika Saiyid  Abdullah az-Zawawi berada di Pontianak, orang yang membantu beliau  dalam banyak hal terutama dalam berkomunikasi dengan orang-orang Melayu  ialah Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani, salah seorang murid  beliau sejak ketika masih berada di Mekah lagi. Belum dijumpai riwayat  yang jelas apakah ulama Kelantan itu datang ke Pontianak ikut  bersama-sama gurunya itu berhijrah dari Makkah sebab tekanan pemerintah  yang berfahaman Wahabi atau sebab-sebab lain. Yang jelas Haji Ismail bin  Abdul Majid al-Kalantani pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak  kemudian daripada gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi.
- Syeikh  'Umar Abdul Jabbar tidak menyebut sesuatu judul penulisan Saiyid  Abdullah az-Zawawi. Tetapi ada sebuah karya Saiyid Abdullah az-Zawawi  saya peroleh daripada simpanan istana Sultan Pontianak melalui Syeikh  'Isa asy-Syarwani, salah seorang keturunan ulama besar sahabat Saiyid  'Abdullah az-Zawawi. Beliau ialah Syeikh 'Abdul Hamid asy-Syarwani,  penulis Hasyiyah Tuhfah Syeikh Ibnu Hajar. Risalah yang ditulis dalam  bahasa Arab diberi terjemahan makna bahasa Melayu oleh murid beliau,  Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani. Pada halaman depan tertulis:  “Ini fatwa daripada as-Saiyid Abdullah ibnu al-Marhum as-Saiyid Muhammad  Shalih az-Zawawi jawab soal dari tanah Jawa ghafarallahu lahu Amin,  bertarikh 25 Syawal 1330 H.” Diberi keterangan di bahagian bawahnya,  “Dicapkan dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur  Rahman al-Qadri Pontianak, Amin Dicapkan pada Mathba' al-Haji Sa'id bin  al-Marhum al-Haji Arsyad, tukang cap dan penjual serba serbi jenis  kitab-kitab Arab - Melayu, nombor 82 Jalan Arab Street, Singapura pada  25 Syawal 1330 H oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said Basrah Street,  nombor 44, Singapura.”
Kalimat terakhir dicatatkan, “Diharap  kepada ahli al-ilmi yang memandang segala makna yang tergantung ini  sekiranya jika ada salah dan terang salahnya mintalah dibetulkan supaya  jangan jadi panjang kesalahannya.” Selanjutnya disebut Ismuhu al-faqir  ilallah nail al-amani Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani.
*  Kandungan Risalah Fatwa Saiyid Abdullah az-Zawawi membicarakan suara  dalam piring hitam. Yang diutamakan adalah mengenai hukum ayat-ayat atau  surah-surah al-Quran yang dimuat dalam piring hitam. Atau dalam  perkembangan sekarang seperti kaset, cakera padat dan lain-lain. Sebagai  contoh terjemahan bahasa Melayu yang digunakan adalah seperti berikut,  “telah zahir satu alat yang bercakap dengan huruf dengan berlagu dan  pantun-pantun yang bersalah-salahan, berlagu-lagu dan menjerit. Dan ada  zahir pada setengah-setengah lauhnya yang dinamakan piring itu rekod  namanya bacaan Quran dan bang. Dan jadilah ia berpanjangan pada  tiap-tiap pasar, dan pada tiap-tiap perkumpulan, dan pada tiap-tiap  kedai kopi. Dan dijualkan dia pada tiap-tiap toko (kedai) dan kebanyakan  yang menjual itu bangsa Nasrani dan Majusi (China), dan lain daripada  mereka itu....”