Followers

Monday, 20 February 2023

Renewal Japan Visa 2022

 9~27th March - JAPAN


Aku menjangkakan 在留期間 (Period of Stay) adalah 3 tahun seperti mana yang aku sering dapat setiap kali melakukan perpanjangan pada March 2021 (link); namun fikiran aku meleset apabila aku hanya di beri 1 tahun sahaja dengan alasan aku tinggal hanya sebentar sahaja di Jepun sepanjang tahun 2018~2021 yang menurut aku tidak masuk akal lebih-lebih lagi pandemik yang bermula awal 2020 memang menyukarkan sesiapa yang di luar negara untuk ke mana-mana! Oleh kerana itu, aku tiada pilihan untuk berangkat semula ke Jepun tahun ini untuk proses yang sama walaupun sedikit sulit kerana tahun ini aku bekerja di lapangan konstruksi bersama 2 orang supervisor dari Jepun jadi perlu mengambil kira situasi mereka juga yang sukar berkomunikasi lebih-lebih lagi salah seorang daripada mereka baru pertama kali bekerja di luar negara pada usia 40-an~ 


Berbeza dengan tahun sebelumnya, aku mengambil peluang untuk apply 工場見学 (Factory visit) di 2 kilang semiconductor yang memang menjadi cermin untuk project yang sedang aku lakukan di Malaysia kali ini~ Lokasi pertama di 長野県松本市 (Matsumoto, Nagano Pref) yang merupakan mother company buat seluruh kilang semiconductor dan hampir setiap minggu diadakan weekly meeting untuk membahas progress project ini jadi ini peluang untuk aku memperkenalkan diri sekalian berjumpa langsung dengan semua pegawai yang ikut serta dalam project ini hatta dari sisi client dan juga vendor yang lain~ Lokasi ke2 ialah 山梨県南アルプス市 (Minami Alps, Yamanashi Pref); istimewa sedikit kerana lokasi ini aku pernah tinggal selama sebulan pada January 2013 untuk 現場実習 (Site training) ketika 入社1年目 (1st year enter company) yang lalu cuma waktu itu project di luar bangunan jadi aku tidak tahu sangat apa yang ada di dalam~ 


App yang wajib di install di dalam phone sebelum tiba di Jepun kerana sepanjang tempoh quarantine perlu check in dan laporkan kondisi badan

Aku sudah menyuarakan hasrat untuk 工場見学 sejak akhir January dan waktu itu semua colleague di Jepun cakap tiada masalah jadi aku hanya fokus kepada pembelian tiket flight apabila itinerary sudah fixed kemudian hari.. Apabila Jepun mengumumkan tiada lagi quarantine bagi yang sudah mengambil booster dose, aku ambil langkah berjaga-jaga dengan asumsi 3 hari quarantine sahaja jadi aku pilih penerbangan pada hari Isnin 14th March dengan catatan akan masuk office hari Jumaat dan setelah dapat approval aku terus beli tiket flight.. Punyalah terkejut apabila sehari selepas itu, baru diberitahu pihak kilang minta aku quarantine lebih dari 10 hari baru dibenarkan masuk sebagai langkah berjaga-jaga membuatkan aku terpaksa berangkat lebih awal dan pesan tiket ulang pada 9th March! Awalnya nak beli penerbangan lain seperti MAS atau SQ yang kebetulan lebih murah untuk berangkat sahaja tapi agent beritahu tidak boleh sebab nanti pesawat return tidak boleh pakai (-_-")

Bilik kuarantin di rumah member

Memandangkan penerbangan NH816 hari Rabu pada pkl 8pg dan setiap pengunjung ke Jepun perlu mengambil ujian PCR maksimal 72 jam sebelum berangkat, aku ambil pada hari Ahad di BP Clinic di Georgetown~ Keesokan harinya, bayar extra RM36 untuk dapatkan COVID-19 Fit for Travel Letter supaya memudahkan urusan di Narita Airport sebab Jepun ada format yang mereka mahukan walaupun bukan mandatori~ Berangkat bersama keluarga dari Penang menuju ke KL pada hari Selasa; pertama kali menginap di hotel berhampiran dengan KLIA sebab tak nak kalut keesokan hari kalau bertolak dari rumah mertua dari KL sebab kena standby di KLIA 2 jam awal~ Sewaktu checkin hotel, dah pesan siap-siap taxi untuk jemput pukul 5:30 pagi keesokan hari nya; agak terkejut bila dah sampai airport, kena bayar RM50 untuk taxi sebab dikenakan caj early ride (笑) Alhamdulillah proses check in di airport juga lancar dan berangkat sesuai jadual~


Ketika tiba di Narita Airport, aku punyalah semangat dengan tunjukkan segala dokumen vaksinasi yang sudah di ambil sebab yakin tak perlu kuarantin lagi sekali staf imigresen cakap aku kena kuarantin jugak selama 7 hari sebab 3rd dose aku AstraZeneca tidak di iktiraf dan Jepun hanya iktiraf Pfizer dan Moderna sahaja! Nasib baik aku dah kaw tim dengan member untuk kuarantin di rumah dia sahaja dah alang-alang pihak client memang suruh aku kuarantin 10 hari cuma sedikit ganggu plan awal aku untuk meeting di syarikat beberapa hari sebelum berangkat ke Matsumoto~ Alhamdulillah, proses kuarantin berjalan dengan baik tanpa sebarang gejala yang tidak diingini dan aku pindah ke hotel berdekatan dengan syarikat berdekatan dengan Kawasaki Station bagi memudahkan perjalanan nanti~ 

Foto di depan Matsumoto Castle

Pertama kali dapat offer murah untuk menetap di Hotel Nikko Kawasaki; paling best ialah breakfast style buffet yang lengkap sesuai dengan 4-star rating (Biasanya business trip cuma duduk 3-star rating sebab murah) cuma yang tak puas hati ialah size bilik kecik sampai nak solat pun kena berdiri atas katil! Berangkat ke Matsumoto dari Kawasaki mengambil masa selama 3 jam perjalanan menggunakan keretapi; dalam perjalanan boleh lihat beberapa kawasan masih ditutupi salji walaupun dah masuk akhir musim~ Sampai sahaja di Matsumoto, aku terus berjalan kaki menuju ke hotel berdekatan stesen untuk check in.. Memandangkan hari masih cerah, aku terus jalan kaki menuju ke 松本城 (Matsumoto Castle) yang juga merupakan antara spot menarik untuk dituju di area sini.. Hujan mula turun setelah selesai ronda-ronda di dalam 松本城 jadi aku segera jalan-jalan cari restoran untuk sekalian makan malam dan kebetulan ada restoran Thai yang ada seafood curry! 

Foto di depan 善光寺

Sengaja aku atur jadual ke Matsumoto pada hari Jumaat supaya ada waktu untuk jalan-jalan pada hujung minggu.. Kalau dah datang area Chubu, sudah pasti ramai akan hadir ke Snow Monkey untuk melihat monyet mandi-mandi dalam air panas~ Oleh sebab aku malas nak travel sendiri, aku google dan jumpa tour guide yang buat One-Day trip di Nagano City dan destinasi akhirnya ialah Snow Monkey~ Selesai sarapan pagi, terus berangkat menaiki train dari Matsumoto menuju ke Nagano untuk bertemu tour guide.. Tour guide pun orang Netherlands bangsa cina yang nikah dengan orang Jepun setelah habis kuliah di Jepun~ Kebetulan juga yang ikut serta trip cuma aku sendiri jadi boleh ikut timing sendiri sepanjang hari~ Destinasi pertama yang dituju adalah 善光寺 (Zenko-Ji) yang dibina pada abad ke7! Yang berminat nak tau sejarah boleh baca sendiri dekat Wikipedia~ 

Foto dengan snow monkey

Makan tengahari di Monzen Terrace Enya sambil solat jama qasar di dalam restaurant sebelum bergerak menaiki keretapi ke Snow Monkey Resorts~ Setiba di stesen Yudanaka, kami naik van sebab resort itu terletak 5km dari stesen jadi kalau tak ada pengangkutan sendiri, amat leceh! Walaupun tiba di pintu masuk resort, tetap perlu berjalan kaki naik ke atas sejauh 1.7km menaiki melalui lereng bukit untuk tiba di taman~ Yang jelas, memang banyak monyet yang bermain-main di area situ cuma sayangnya waktu aku tiba, salji dia tak tebal sangat jadi imej National Geographic yang selalu aku lihat itu tak sama dengan apa yang aku lihat ketika di situ.. Pengunjung dinasihatkan supaya tidak pandang bertemu mata dengan monyet lebih-lebih lagi ketika mereka sedang mandi bagi mengelakkan kena serang! Trip berakhir apabila tiba di Nagano station semula dan makan malam hari itu aku jumpa satu restoran malaysia yang terletak berhampiran dengan Matsumoto Station~


Restoran Kayu Manis Halal Cafe ini dibangun oleh satu pasangan Malaysia suami isteri beranak 4 dan kebetulan aku jumpa di dalam instagram! Kalau tengok di google map tulis tutup, tapi bila tanya langsung kat instagram, pemilik restoran kata kalau Malaysian dia ajak je datang tak kira waktu! Sesampai sahaja di restoran sekitar jam 6pm setelah solat maghrib di hotel, agak terkejut restoran itu juga merupakan rumah yang mereka diami! Kebetulan ada pengunjung orang Malaysia yang juga bekerja di Jepun di situ jadi boleh sembang-sembang sambil menunggu makanan~ Pasangan suami isteri ini dulu nya bekerja di kilang yang sama selama lebih 10 tahun sebelum isterinya nekad untuk berhenti kerja dan buka restoran di situ bagi memudahkan urusan jaga anak~ Bisnes makanan halal juga agak rancak apabila ada pesanan masuk dari Hokkaido dan Okinawa dan makanan juga boleh tiba pada keesokan harinya memandangkan perkhidmatan pos Jepun yang maju~


Isnin itu aku bergerak ke kilang menggunakan taksi dan keesokan harinya pula site visit kilang di Yamanashi dengan menggunakan kereta yang dipandu oleh senior~ Sewaktu tiba di kilang, agak nostalgia kerana January 2013 aku menghabiskan masa sebulan di kilang yang sama atas urusan project training~ Malam itu aku bergerak pulang ke Tokyo kerana keesokan hari nya aku perlu ke pejabat imigresen atas urusan 在留更新手続き (Extension visa permit)~ Sengaja pilih untuk apply di Tokyo dan bukannya di Yokohama supaya boleh banding di kemudian hari; agak terkejut kena beratur panjang dari luar bangunan lagi! Setelah lama menunggu giliran, agak kecewa apabila diberitahu pemohonan di tolak kerana ada dokumen yang kurang lengkap membuatkan aku perlu ke HQ di Kawasaki keesokan harinya bagi mendapatkan dokumen yang diperlukan! 

View di dalam TeamLab Odaiba

Mujur aku memang ada siapkan hari spare kerana hal-hal begini tidak boleh diduga! Oleh kerana masih ada waktu di Tokyo, aku pun jalan-jalan sekitar Immigration Office yang terletak berdekatan dengan Odaiba~ Kebetulan TeamLab ada event di situ dan aku juga pernah masuk event mereka di Jakarta membuatkan aku minat nak cuba yang di Tokyo walaupun tiket agak mahal! Jujur kata pengalaman dia memang tak ternilai, sesiapa sahaja yang ada peluang, silalah pergi kerana memang seronok terutamanya anak-anak! Setelah puas, aku keluar jalan kaki menuju ke Divercity Tokyo yang menempatkan Gundam gergasi untuk sesi foto sebelum bergerak ke Tokyo Station untuk bertemu dengan junior untuk makan malam bersama~ Niat di hati nak solat di Tokyo Station tapi malangnya surau tutup awal pulak waktu itu (-_-") Kami makan di Zero Two Nasi Kandar Tokyo yang baru di buka pada tahun ini~ Walaupun aku tinggal di Penang sekarang, menu yang diberikan boleh tahan sedap!

Foto di hadapan restoran

Keesokan pagi nya aku terus bergegas ke HQ Kawasaki untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan sebelum menuju ke Yokohama Immigration Office bagi tujuan yang sama~ Alhamdulillah, orang tidak terlalu ramai dan tidak ada komen lanjut dari pihak immigration membuatkan urusan selesai sekitar tengahari~ Oleh kerana masih ada waktu, aku memilih untuk jalan-jalan sekitar Hotel di Ueno dan kebetulan hotel itu ada sediakan voucher discount untuk pengunjung yang berminat ke Tokyo Skytree yang juga antara destinasi yang aku ingin pergi sejak dulu~ Indah sungguh pemandangan dari menara tertinggi di dunia 634m tapi pengunjung hanya boleh berada di ketinggian 450m! Malam itu aku makan malam dengan 2 ex-lab mate sewaktu zaman university; seorang sedang bekerja di area Tokyo dan seorang lagi sanggup datang jauh dari Chubu semata-mata ingin berjumpa! Pertemuan sulung 10 tahun setelah graduasi kali ini memang penuh nostalgia apabila masing-masing buka cerita zaman pelajar!

View bawah dari ketinggian 450m

Salah seorang siap ada simpan nombor telefon Professor dan langsung telefon untuk bertanya khabar! Sempat juga video call dengan beberapa ex lab mate yang lain yang tidak dapat hadir kerana pertemuan kali ini hanya dirancang 3 hari sebelumnya! Borak sakan di restoran sampai restoran tutup jam 11 malam, ingatkan dah tamat sampai di situ, tak sangka pula mereka ajak borak-borak di hotel sampai subuh! Besoknya aku kena ambil PCR covid test sebelum naik flight pulang ke Malaysia keesokan hari nya~ Sempat singgah Starbucks Reserve® Roastery Tokyo walaupun nak masuk kena tunggu 180 minit! Sanggup jalan kaki ke Tokyo Jamii untuk solat sebelum kembali ke lokasi yang sama semata-mata nak ambil foto!

View dari Meguro

Nasib baik la pemandangan bunga sakura di Meguro memang cantik jadi dapat cuci mata sekali~ Alhamdulillah result COVID juga negative jadi dapat la pulang dengan hati yang tenang.. Oleh kerana flight pukul 5 petang, aku ambil keputusan jalan-jalan di sekitar Ueno Zoo untuk menikmati bunga sakura di sana~ Berangkat ke Narita Airport menggunakan Narita Express hanya mengambil masa 1 jam untuk tiba di airport! Rezeki apabila jumpa kedai di dalam airport yang menawarkan jersey kebangsaan Jepun original pada 50% harga! Terus beli 1 set untuk anak~ Tiba di KLIA pada tengah malam dan oleh kerana masih kuarantin hotel masih mandatori bagi mereka yang tiada rumah, aku pilih untuk kuarantin 5 hari di Dorsett Subang~ Hari terakhir quarantine pada 1st April merupakan hari kerajaan mengumumkan tiada lagi mandatori kuarantin bagi pengunjung luar negara (笑)  dan semoga berkekalan sehingga kiamat insyaAllah! 


p/s  Proses menunggu visa permit mengambil masa 2 bulan lebih!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Arsenal FC